Showing posts with label mee. Show all posts
Showing posts with label mee. Show all posts

Tuesday, 5 April 2016

Mee Sup Sempoi

As salam...

Hari ni saya dapat balik awal, dah dua hari saya pi kursus kat kuala selangor, walaupun disediakan bilik, saya tak tidoq sana maklumlah selama ni saya tak pernah lagi berpisah dengan anak-anak....lagipun kuala selangor dgn shah alam tak jauh mana, hari pertama tu, saya sampai rumah malam tu pukul 11.30 mlm...hmmmm...lainlah kalau depa hantar saya pi kursus kat perlis...mau berbaldi-baldi ayaq mata dok menangis sbb teringat kat anak....

Sampai rumah tadi pukul 2.00 ptg, saya singgah pi beli ayam, dalam kepala saya nak buat mee sup yang sempoi je, untuk si nombor dua, saya tanak nasik putih, boleh makan dgn kuah sup nanti.

Resepi ni saya mmg rekomen untuk mak-mak yang sibuk, tak susah pun nak buat dan rasanya pun taklah berempah sangat...sesuai kalau budak kecik-kecik nak makan...untuk org tua, kita buat lah sambal kicap yang berasap kalau depa nak kuah yang pedas....



Jom tengok resepinya....
Resepi Mee Sup Sempoi
Bahan
- 2 bungkus mee kuning dicelur dan ditoskan
-1/2 ekor ayam potong sederhana dan dicuci bersih
-1 kiub pati ayam
- 5 ulas bawang putih (jangan buang kulit)
- 1 inci halia diketuk
- 1 sudu teh serbuk lada sulah
- 10 biji lada hitam ditumbuk kasar
- 1 bunjut rempah sup
- 2 - 3 liter air (ikut kesesuaian)
- sedikit serbuk kunyit
- garam secukup rasa
- minyak untuk menggoreng ayam

Untuk hiasan
- bawang goreng, kobis celur, sambal leting

Resepi sambal leting
Bahan
- 15 biji cili padi ditumbuk halus
- 1 sudu makan cuka
- 3 sudu makan kicap
- 3 sudu makan air
- sedikit minyak

Cara
  1. Panaskan sedikit minyak, goreng cili tumbuk hingga garing. Masukkan kicap, cuka dan air. Kacau sebati. Tutup api.

Untuk kuah sup
Cara
  1. Masukkan ayam, halia, bawang putih dan air ke dalam periuk yang sesuai. Rebus hingga mendidih dan ayam empuk.
  2. Angkat ayam dan toskan. Gaul rata ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Ketepikan.
  3. Dalam periuk air rebusan ayam, masukkan kiub pati ayam, serbuk lada sulah, lada hitam dan sup bunjut. Renehkan sehingga semua rempah sup mesra dengan kuah. Perisakan dengan garam. Tutup api.
  4. Panaskan minyak, goreng ayam yang telah direbus tadi hingga garing. Angkat dan dipotong kecil-kecil.
  5. Dalam mangkuk, masukkan mee yang telah dicelur, taburkan isi ayam, taburkan bawang goreng, sayur kobis, dan sambal kicap leting. Curahkan kuah. Sedia untuk dinikmati.
Hmmmm....walaupun simple, habislah jugak dua bungkus mee ni....Boss Besar cakap sedap...hikkkssss....seronok je rasa...untuk sambal leting tu, mmg pedas...kalau takmau buat, cili kicap pun okay jugak,...kalau ada daun sup, daun bawang boleh lah ditabur atas mee sup kita ni...saya dah malas nak keluar pi beli....kobis celur sbb nak perabih stok kobis dalam peti ais je, saya hiris nipis-nipis dan lepas tu celur sekejap...jadi lah buat hiasan....

Jadi apa lagi....cubalah resepi mee yang sempoi ni...mesti puas hati...

Babai

Thursday, 26 November 2015

Mee Udang

As salam...

Hari ni teringin nak makan mee...selongkar freezer ada udang sederhana dan jugak rangka ayam...hmmm rangka ayam ni saya beli kat pasar tani stadium kat seksyen 13...masa beli tu saya pikir bulehlah direbus utk buat stok ayam...dan utk kali ni, saya guna utk buat mee udang...

Selalunya mee udang yg biasa saya buat, kulit dan kepala udang direbus, diblend dan diambil stoknya tapi utk mee udang versi kali ni, kulit dan kepala udang tu digoreng dgn sedikit cili kisar hingga garing dan kemudian barulah dikisar, dimasukkan dlm air rebusan ayam, selepas kuah mendidih baru lah ditapis dan diletakkan gula dan garam secukup rasa...agak2 nya apa hasil kejadian mee udang ni?



Mesti lah sedap...apa lagi mai tengok resepinya...
Resepi Mee Udang
Bahan
- 3 bungkus mee kuning dicelur dan ditoskan
- 1 ekor rangka ayam
- 20 ekor udang dibuang kepala dan kulit (kulit dan kepala udang diambil)
- 2 sudu besar cili kisar
- 4 ulas bawang putih*
- 10 biji bawang merah*
- 1/2 inci halia*
- 2 batang serai*
- 1 sudu teh belacan*
- 20 biji cili kering rebus dan toskan*
- 3 sudu besar sos ikan
- 1 sudu besar sos cili
- 1 peket bebola sayur dibelah dua
- 5 biji kentang direbus dan dikisar halus
- gula batu secukup rasa
- garam secukup rasa
- sedikit minyak
- air secukupnya

Aksesori pelengkap
- bawang goreng, telur rebus, tauge dicelur, pakchoy dicelur, cili hiris, daun bawang

Cara
  1. Kisar semua bahan bertanda* hingga halus. Ketepikan.
  2. Rebus rangka ayam dgn air yg secukupnya hingga empuk. Tapis dan ambil air rebusannya. Ketepikan.
  3. Panaskan 3 sudu makan minyak masak. Goreng kepala dan kulit udang hingga garing. Tambahkan cili kisar. Goreng hingga cili masak dan garing. Angkat.
  4. Masukkan kepala dan kulit udang yg digoreng ke dalam blender. Tambahkan air secukupnya dan kisar hingga halus. Ketepikan.
  5. Dengan menggunakan kuali dan lebihan minyak menggoreng kulit udang tadi, tambahkan sedikit lagi minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan stok rebusan ayam dan kulit udang yg dikisar. Tambahkan air mengikut kesesuaian. Masak hingga mendidih.
  6. Setelah mendidih, tapiskan kuah ke dalam periuk utk mengasingkan kisaran kulit udang tadi. 
  7. Renehkan kuah. Tambahkan bebola sayur, sos cili, sos ikan dan kentang.
  8. Perisakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  9. Akhir sekali masukkan udang dan renehkan sehingga udang masak.
  10. Tutup api dan sedia utk dinikmati.
Macam biasalah ya...utk menghidang...letak mee dlm mangkuk, taburkan hiasan dan curahkan kuah...hmmmm...bolehlah dimakan...

Macam mana rasanya bila kulit udang digoreng dahulu...hmmmm..kuahnya lebih beraroma...Boss Besar pun cakap sedap...mungkin sebab kuah ni mmg terasa manis udangnya...dia pun makan bertambah...

Jadi lain kali buleh lah dibuat lagi menu mee udang ni...berbaloi-baloi bila rakyat jelata makan bertambah...

Selamat mencuba ya!

Babai




Wednesday, 11 November 2015

Sizzling Mee

As salam...

Menu malam ni macam biasa lah...bukan nasik...owhhh nampak gayanya kami sefamili mmg kena diet lah...

Maklumlah dah hampir setahun saya tak kerja...saiz badan anak2 dah membulat dgn jayanya...berat terkini si nombor dua yg baru umur lapan tahun ialah....jeng...jeng...jeng...50kg...dia rendah...mmg nampak ketara kegemukan dia tu...*tepuk dahi*

Masa pi giant hari tu saya ada beli shitake mushroom...nak simpan lama takut rosak pulak...jadi buat kuah sizzling lah..cuma saya takdak yee mee...yg ada flat noodles yg kering tu...takpelah..buleh jugak kan...


Okay...ini resepinya
Resepi Sizzling Mee
Bahan
- 1 bungkus instant flat noodles
- 5 ulas bawang putih*
- 1/2 inci halia*
- 1/2 ekor ayam dipotong kecil
- 1 peket cendawan shitake
- 1 ketul kiub pati ayam
- 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
- 3 sudu makan kicap lemak manis
- 2 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan kicap pekat
- 2 sudu makan tepung jagung dibancuh dgn sedikit air 
- 7 cawan air
- 3 - 4 biji cili kering dipotong kasar
- gula dan garam secukup rasa
- sedikit minyak utk menumis
- telur
-sayur sawi pakchoy secukupnya

Cara

  1. Tumbuk bahan bertanda* hingga halus. Ketepikan.
  2. Ayam dibasuh bersih. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  4. Masukkan ayam. Masak hingga ayam kecut.
  5. Kemudian, masukkan serbuk lada hitam, sos tiram,kicap pekat dan kicap lemak manis. Kacau sebati.
  6. Seterusnya, masukkan air dan kiub pati ayam. Masak hingga mendidih. 
  7. Kemudian, masukkan cili kering yg dipotong. Perisakan dgn garam dan gula.
  8. Apabila ayam telah masak sempurna. Masukkan bancuhan tepung jagung. Masak hingga kuah likat dan berkilat.
  9. Tutup api.
  10. Untuk menghidang, ambil kuali kecil, masukkan kuah sizzling secukupnya. Masukkan flat noodles. Masak hingga flat noodles empuk.
  11. Susun cendawan shitake,ayam dan sawi pak choy di sisi kuali. Pecahkan telur.
  12. Tunggu hingga telur 3/4 masak dan sedia utk dihidangkan.
Macam tu lah cara saya masak sizzling mee ni...maklumlah takdak sizzling pan tu...belasah guna kuali kecik je dan lepas tu tuang dalam pinggan..dari segi presentation tu hancusss lah tapi nasib baik rasanya sedap...

Tapi muka si nombor dua masih tak puas hati sbb tak dpt makan nasik...hahaha..hang kena dietlah wahai anakku!

Hmmmm..jadi selamat mencuba!

Babai

Saturday, 31 October 2015

Mee Goreng Basah

As salam...

Pagi ni makan nasik lemak...Boss Besar beli lepas dia hantar si nombor dua ke sekolah...dia pi rombongan...bukan jauh pun..i-City ja...hahaha...mula2 tak bagi pi tapi dia beria2 nak pi dgn kengkawan...jadi Boss Besar bagi pi jugak...Selasa ni pulak turn si nombor tiga pi rombongan...tempat sama...i-City jugak...

Si nombor satu pulak ada camping kat Hulu Langat...masa dia bagitau nak pi tu, kami laki bini buat dunno je...takmau bagi dia join camping tu...tapi biasalah lembut hati jugak sbb hari2 dok mintak nak pi...pi jumaat dan esok balik...

Sebenarnya dok risau jugak sbb la ni kan petang je hujan dgn kilat...harapnya urusetia kat sana jaga bebudak tu betul2...hmmmm...jgn si nombor satu dok menangis sudahlah...

Menu mee goreng ni saya buat utk minum petang dan dlm hati saya berharap depa buleh tahan sampai malam lah...saya nak tutup opis (baca: dapur) awal hari ni sbb subuh esok anak sedara Boss Besar nak sampai...saya nak mengemas rumah sikit jadi kena gantung periuk awal lah...

Resepi ni sangat ringkas, saya guna homemade kueyteow paste je tapi kalau tak guna pun takpa cuma kena adjust bagi cukup rasa lah ya...



Ini resepinya...
Resepi Mee Goreng Basah
Bahan
- 1 peket mee kuning;basuh dan ditoskan
- 2 ulas bawang putih diketuk
- 1 sudu makan cili kisar
- 10 ekor udang
- 1 keping fishcake dihiris
- 5 biji fishball di hiris
- 2 senduk kecil homemade kueyteow paste (resepi SINI)
- 2 sudu makan kicap pekat
- 2 sudu makan sos cili
- 1 biji telur
- sedikit bancuhan tepung jagung ( 1 sudu teh tepung jagung dibancuh dgn sedikit air)
- sedikit sawi pakchoy dihiris
- minyak utk menumis

Cara
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga naik bau. Tambahkan cili kisar. Goreng hingga garing.
  2. Kemudian, masukkan fishball dan fishcake. Kacau sekejap sebelum dimasukkan udang dan kueyteow paste. Kacau rata.
  3. Apabila udang mula mengecut, pecahkan telur. Biar telur masak sedikit sebelum dikacau.
  4. Seterusnya masukkan mee. Kacau sebati. Tambahkan sos cili dan kicap pekat. Gaul rata. Jika nampak kering, masukkan sedikit air. 
  5. Goreng hingga mee masak sebelum dimasukkan sayur. Apabila sayur mula layu, masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sebati.
  6. Tutup api apabila mee berkilat dan cukup rasa.
  7. Sedia utk dihidangkan.
Kalau tengok resepi ni saya tak bubuh garam sbb kueyteow paste tu dah masin,mee kuning pun masin jugak...memang kalau goreng mee kita tak letak garam...jadi untuk seimbangkan rasanya kita cuma adjust penggunaan sos cili dan kicap je...

Saya tambahkan bancuhan tepung jagung utk dpt kesan berkilat dan ala2 basah gitu...kalau takmau bubuh pun takpa...

Okaylah...saya nak mulakan operasi mengemas rumah pulak...tukar cadar dan mop lantai....lalala...

Babai

Wednesday, 14 October 2015

Mee Kicap

As salam...

Salam Maal Hijrah...hari ni kami sefamili breakfast kat luar...makan kat hayaki cafe...orang tak ramai...saya bagitau Boss Besar maybe ramai yg berpuasa sunat hari ni kot...kita je yg tak posa...hiksss...so macam mana menu kat hayaki tu...taktaulah...kalau ikut anak tekak saya...biasa2 aje...taktaulah org lain kan...Boss Besar pun cakap mcm tu jugak...citarasa masing2 kannnn...tapi dia kata kalau yg kat setapak tu sedap...

Utk lunch saya masak mee kicap...kalau google...katanya mee kicap ni dimakan dgn kuah sup atau kuah kari...dan kalau kat ipoh...mee ni glemer...ntahlah saya tak pernah cuba pun tapi Boss Besar pernah rasa..bila saya tanya...dia kata rasa kicaplah...



Bila tgk resepinya...mudah dan bhn2 pun ringkas je...jadi apa lagi mari kita cuba...cuma saya ada tokok tambah sikit ikut selera kami sefamili...


Mee + Kicap

Ini resepinya
Resepi Mee Kicap
Bahan
- 2 bungkus mee kuning dicelur
- 2 keping dada ayam
- sedikit garam kunyit
- minyak utk menggoreng

Untuk kuah kicap
- 2 sudu makan minyak masak
- 3 ulas bawang putih ditumbuk
- 1 cm halia ditumbuk
- 3 sudu makan kicap manis
- 3 sudu makan sos tiram
- 2 sudu makan kicap pekat
- 1/2 kiub pati ayam
- 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
- 3 cawan air
- 1 sudu makan tepung jagung dibancuh dgn sedikit air
- gula dan garam secukup rasa

Untuk kuah sup
- 1 sudu makan minyak masak
- 3 ulas bawang putih dihiris
- 1 cm halia dihiris
- 4 cawan air
- 15 biji fishball
- 3 keping fishcake dihiris
- 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
- 1/2 kiub pati ayam
- 1 sudu makan sos ikan
- garam secukup rasa
- sedikit daun bawang sbg hiasan

Hiasan
- cili hiris, bawang goreng, chilli paste, tauhu goreng dihiris.

Cara
  1. Dada ayam di garam kunyitkan dan digoreng hingga garing. Angkat dan hiris nipis. Ketepikan.
  2. Untuk kuah kicap, panaskan minyak,tumis bahan yg ditumbuk hingga wangi. Masukkan air, kicap manis, kicap pekat, sos tiram dan kiub pati ayam. Masak hingga mendidih. Tambahkan lada sulah dan bancuhan tepung jagung . Perisakan dgn garamndan gula. Tutup api apabila kuah likat dan berkilat. Ketepikan.
  3. Untuk kuah sup pula, panaskan minyak, tumis halia dan bawang putih hingga garing. Tambah air dan kiub pati ayam. Apabila kuah mendidih, masukkan fishball,fishcake dan sos ikan. Kacau rata. Masukkan serbuk lada sulah dan perisakan dengan garam. Tutup api apabila fishball dan fishcake masak dan terus letak daun bawang.
  4. Untuk menghidang pula,ambil kuah kicap, masukkan ke dalam mangkuk. letakkan mee, hirisan ayam, tauhu, bawang goreng,cili hiris dan chilli paste. Kemudian curahkan pula kuah sup dan sedia utk dinikmati.

Mudah kan? Nampak macam banyak step je kan...hmmmm...kalau nak senang...utk kuah kicap tu, lepas tumis tu masuk aje semua bahan. Bila mendidih tu...tutup api, sup pun mcm tu jugak, masukkan semua, bila mendidih tutup je api.

Macam mana rasanya...mcm Boss Besar cakap lah rasa kicap tapi sedap...anak2 saya mmg suka sup...jadi laju lah depa makan...si nombor tiga pun makan banyak sbb dia mmg suka kicap...utk bagi pedas...kena makan dgn chilli paste lah...

Kiranya dua bungkus mee habis... Alhamdulillah...

Selamat mencuba ya!

Babai

Thursday, 1 October 2015

Cantonese Yee Mee

As salam...

Apakah menu bukan nasik utk malam ni? Owhhh saya teringin nak makan sizzling mee...tapi apalah nasib badan...tiga kedai saya pi...shitake mushroom takdak pulak...selalunya kalau takmau beli...banyak je ada kat kedai tu...

Jadi...tukar buat cantonese yee mee aje...resepi ikut apa yg ada...sedap ka tak sedap ka...itu belakang kira...berani depa kata tak sedap...mak hangpa jegil mata baru hangpa tau...hahaha...


Tapi jgn risau...sedap...gerenti jadi...ini resepinya
Resepi Cantonese Yee Mee
Bahan
- 5 keping yee mee
- 1 mangkuk isi ayam
- 3 ulas bawang putih dicincang
- 2 hiris halia diketuk
- 1 sudu makan sos tiram
- 1 kiub pati ayam
- 2 sudu makan perencah makanan hilal
- 1 biji carrot di potong ikut suka
- 3 pokok sawi pakchoy
- 2 keping fish cake dihiris
- 1 biji cili merah dipotong kasar
- 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
- sedikit bancuhan tepung jagung
- garam dan gula secukup rasa
- air secukupnya
- sedikit minyak masak

Cara
  1. Goreng yee mee sekeping demi sekeping hingga garing. Ketepikan.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak masak. Tumis bawang putih dan halia hingga wangi.
  3. Masukkan isi ayam. Masak hingga ayam kecut.
  4. Tambahkan air secukupnya. Masukkan kiub pati ayam, perencah makanan hilal, sos tiram, serbuk lada hitam dan carrot.
  5. Masak hingga mendidih. Tambahkan fishcake dan perisakan dgn garam dan gula. Tambahkan bancuhan tepung jagung. Masak hingga kuah likat dan berkilat.
  6. Akhir sekali, masukkan sawi pak choy dan cili merah.
  7. Tutup api.
  8. Untuk menghidang, letakkan yee mee yg telah di goreng dan curahkan kuah ke atasnya.
Wahhhh...sekejap je dah siap...macam biasa lah...kalau nak pedas...ketuklah cili padi dan masukkan dalam kuah...saya masak tak pedas...maklumlah rakyat jelata kecik2 lagi...

Kruk krak kruk krak bila makan yee mee ni...tapi si nombor dua suka yee mee yg dicelur...ikut awak lah anak2...janji makan dan habis...

Alhamdulillah...laku cantonese yee mee hari ni...habis...lepas ni buleh buat lagi sbb resepinya simple aje...

Okaylah.selamat memasak ya!

Babai


Monday, 14 September 2015

Mee Kuah Udang Besaq

As salam...

Masih lagi cerita udang...hari ni masak mee utk dinner...dan saya masak mee kuah udang...

Lunch tadi...buat sayur dgn goreng ikan je...itupun habis...hahaha...depa ni makan mmg lalu sungguh...

Mula2 bercadang nak buat macam mee udang sg dua tu...tapi lepas tu tukaq jadi mee kuah je lah sbb saya bubuh keledek dan kuah mee tu jadi pekat...

Untuk air rebusan udang tu...saya guna udang kecik, saya ambil kulit dan kepala udang utk direbus, isi udang tu saya simpan balik dlm freezer...masak lain kali pulak...

Sbb apa saya tak guna kulit dan kepala udang besar tu...hiiiii....sbb saya nak biaq dia sekoq-sekoq dan nampak cantik bila hidang...adoiiii...buleh jugak perangai mcm tu kannnnn!


Apa pun...ini resepinya...
Resepi Mee Kuah Udang Besar
Bahan
- 2 bungkus mee di celur
- 1/2 kilo udang kertas saiz besar
- 1/2 kilo udang kecik- ambil kulit dan kepalanya sahaja utk buat air rebusan(isi guna lain kali)
- 5 ulas bawang merah*
- 3 ulas bawang putih*
- 1 hiris halia*
- 3 sudu besar cili kisar
- 2 sudu besar sos cili
- 3 sudu besar sos tomato
- 1 kiub pati tomyam
- 2 biji kentang
- 2 biji keledek
- sedikit minyak utk menumis
- air secukupnya
- garam dan gula secukup rasa

Hiasan
- sayur pak choy dicelur, telur rebus, bawang goreng, daun bawang, cili hiris, limau nipis

Cara

  1. Kupas kulit keledek dan kentang. Rebus hingga empuk. Kemudian kisar halus. Ketepikan.
  2. Kisar semua bahan bertanda * hingga halus. Ketepikan
  3. Panaskan dua sudu minyak masak, goreng kulit dan kepala udang hingga bertukar warna. Masukkan satu setengah liter air. Rebus hingga mendidih. Kemudian kisar air rebusan bersama kulit dan kepala udang. Tapis dan ketepikan air rebusan.
  4. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan halia yg telah dikisar. Tambahkan cili kisar. Goreng hingga garing.
  5. Masukkan air rebusan udang dan juga puree ubi. 
  6. Tambahkan kiub tomyam, sos tomato dan sos cili.
  7. Masak hingga mendidih.
  8. Kemudian perisakan dgn gula dan garam mengikut citarasa. Kalau pekat, tambahkan sedikit lagi air.
  9. Akhir sekali, barulah dimasukkan udang besar. Masak sekejap sahaja.
  10. Tutup api sebaik sahaja udang bertukar warna supaya udang kekal juicy dan tak keras.
  11. Kuah mee siap!
Jadi masa nak makan tu,apa lagi letak mee dalam mangkuk, susun semua hiasan curahkan kuah...dan makan...


Ini komen yg saya dapat :

1. Boss Besar : 
"Kuah pekat sangatlah...tak rasa macam mee udang sg dua pun! Tapi sedap...buleh makan."..("Boss...ini mee kuah lah") 

2. Si nombor satu : 
"Mak...walaupun saya tak suka makan mee...tapi mee ni saya suka lah"...

3. Si nombor dua : "Owhhhh...sedapnya...esok boleh tak saya bawak bekal mee kuah ni pi sekolah" (dia makan hampir sebungkus mee)

4. Si nombor tiga: 
"Saya rasa mee ni sedaplah bila letak kicap!"

5. Si nombor empat : 
No komen...dia cuma mkn mee saja

6. Si nombor lima : 
"Dappp...dapppp."..angguk kepala..

Akhir sekali mak depa aka tukang masak : 
"Sapa komplen...mak takmau masak dah lepas ni!" Hahaha

Overall...mee ni sedap..habis dua bungkus mee, kuah mee pun habis...nampaknya buleh buat lagi lain kali ni...lalalala...saya gembira!

Babai

Sunday, 6 September 2015

Mee Teow Ladna

As salam...

Selamat hujung minggu....pagi tadi...boss besar tapau roti canai utk breakfast...hmmmm...lega tak payah masak....lepas tu...tengahari...dia ajak keluar...rupanya nak bawak pakatan lima beradik ni naik lrt...si nombor empat dari minggu lepas dok ajak nak naik choo choo train...kami naik star lrt...dari bukit jalil-chow sow lin-bukit jalil...hmmmm...dah lama saya tak nak lrt ni...nampaknya budak2 ni pun seronok naik lrt...sekali sekala...best lah...kalau hari2...mesti boring kan...

Lps tu pi singgah rnr awan besar sbb nak makan kat restoran hassan ayam kampung...seronok lagi...sbb tak payah masak lunch...hiksss...

Bila malam...nak makan apa ya?Boss besar cakap takmau makan nasik...baiklah...kita masak kueyteow je...ada sebungkus kueyteow dan mee pun ada lagi setengah bungkus...kita kawin kan dua- dua tu...dapatlah mee teow...dan kuahnya kita buat style ladna...


Hmmmm...ini resepinya...
Resepi Mee Teow Ladna
Bahan
- 1 bungkus kuey teow
- 1/2 bungkus mee
- 1 mangkuk kecil hirisan daging
- 3 ulas bawang merah diketuk
- 3 sudu makan kicap manis
- 3 sudu makan sos tiram
- 2 sudu makan sos ikan
- 1 kiub pati ayam
- 1 sudu teh lada sulah
- 2 sudu makan tepung jagung dibancuh dgn sedikit air
- hirisan carrot, cauliflower, cili merah dan tomato
- sedikit minyak utk menumis
- air secukupnya
- secubit gula

Hiasan
- hirisan daun bawang, bawang goreng dan limau nipis.

Cara

  1. Basuh kuey teow dan mee. Toskan. Gaulkan dgn kicap manis. Biarkan 5 minit. Goreng tanpa minyak hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Rebus daging hingga empuk. Simpan air rebusan.
  3. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan air rebusan daging. Tambahkan kiub pati ayam, sos tiram, sos ikan dan lada sulah. Tambahkan air jika inginkan kuah lebih.
  4. Apabila kuah mendidih, masukkan daging dan hirisan sayur-sayuran dan secubit gula. Masak hingga carrot dan cauliflower lembut.
  5. Kemudian masukkan tepung jagung. 
  6. Kacau rata dan tutup api apabila kuah menjadi likat dan berkilat. 
  7. Tuangkan kuah ke atas mee teow tadi. Taburkan daun bawang, bawang goreng dan hirisan limau nipis.
  8. Sedia utk dinikmati.

Kalau tengok resepi ni...tak pakai garam...rasa masin tu datang dari sos ikan...tapi kalau tak masin jugak, bolehlah ditambahkan garam.

Untuk sayur tu, boleh jugak letak putik jagung, sawi dan apa2 jenis sayur yg sesuai...saya tak bubuh sbb takdak stok...hahaha...dan kalau nak pedas...ketuklah cili padi dan masukkan jugak dlm kuah tu...

Resepi ni sgt senang...sekejap je dah masak...boss besar cakap sedap...dan nampaknya semua pakat suka makan mee teow ladna ni...habis licin... alhamdulillah....

Jadi...apa lagi...selamat mencuba!

Babai

Friday, 4 September 2015

Mee Kari Ipoh Berkerisik

As salam...

Baru-baru ni...masa MIL mai rumah...dia bawak ikan kering tamban...yg kecik2 tu...cadangnya utk digoreng masa kami buat majlis makan2 hari tu...tapi masa hari kejadian...saya dok kalut lagi di dapur...tetamu dah mai seawal 10.30 am...jadi saya pun tak goreng ikan kering tu...bukannya apa...tak pasal2 nanti semerbak bau ikan kering satu rumah...hikssss...

Alhamdulillah...majlis berjalan lancar tapi saya dgn boss besar panik jugak..pukul 1.30pm...makanan tak cukup...jadi...pi beli lauk mamak utk top up...dan beli ayam  utk masak lauk tambah...time tu saya bersyukur sgt sbb mak dgn sepupu saya tolong masak...lega...

Jadi...apa kaitan mee kari dgn ikan kering tamban tu...hahaha...sbb stok ikan kering tu byk...mari kita buat mee kari menggunakan ikan kering tu...saya amik resepi kat SINI...ada sikit tokok tambah...saya bubuh kerisik...




Mai tengok resepinya...
Resepi Mee Kari Ipoh Berkerisik
Bahan
- 2 peket mee kuning dicelur sekejap.
- 100g ikan kering tamban kecik
- 1 genggam ikan bilis*
- 1 labu bawang besar*
- 6 ulas bawang putih*
- 5 sudu besar serbuk kari daging
- 1 sudu makan serbuk cili
- 2 sudu makan kerisik
- 5 batang serai diketuk
- 1 1/2 cawan santan KARA
- 1 kulit kayu manis, 2 kuntum bunga cengkih, 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga
- 2 pelepah daun kari
- fishball,fishcake dan tauhu goreng secukupnya
- minyak utk menumis
- air secukupnya

Hiasan
- telur rebus,tauge,cili merah,limau nipis, bawang goreng, daun bawang

Cara
  1. Masukkan ikan kering tamban dan air secukupnya ke dalam periuk. Rebus hingga mendidih. Tapis utk mendapatkan stoknya. Ketepikan.
  2. Kisar semua bahan bertanda* hingga halus.
  3. Panaskan minyak, tumis rempah empat sekawan dan daun kari hingga naik bau.
  4. Masukkan rempah dan bahan kisar. Masak hingga pecah minyak.
  5. Tambahkan stok rebusan dan serai. Gaul sebati. 
  6. Apabila kuah mendidih, masukkan santan dan kerisik. Tambah air mengikut kesesuaian.
  7. Seterusnya masukkan fishball, fishcake dan tauhu goreng. Perisakan dgn garam dan gula.
  8. Masak hingga kuah mendidih dan cukup rasa.
  9. Tutup api.
  10. Sedia utk dihidangkan bersama mee dan bhn hiasan.
Macam mana rasanya...boss besar cakap sedap...kira okaylah tu sbb kalau tak sedap...dia cakap direct je...hahaha..jadi menu ni buleh jadi menu adhoc kalau tiba2 tetamu mai rumah...sbb bahan2 mmg sedia ada kat rumah...kalau takdak pun..mungkin mee dan tauge je...

Saya buat kuah agak cair... maklumlah penduduk ramai kannnn...nampaknya si nombor dua pun makan mee ni...cuma si nombor satu makan sikit je...saya pun heran...dia tak suka makan mee...bihun dgn kuey teow...dia suka...

Okaylah...itu lah kisah mee kari ipoh ni...selamat mencuba!

Babai

Monday, 29 June 2015

Mee Wantan Goreng

As salam...

Hari ni...si nombor tiga mintak maggi goreng...saya bagitau dia...kat umah takdak stok maggi... hmmmm...muncung mulut sedepa...si nombor tiga ni memilih makanan sikit...dia suka makan roti, biskut, mee...kalau nasik tu...susah sikit...tapi kebelakangan ni...nampaknya dia dah berselera makan nasik...lega hati...kalau bandingkan si nombor dua dgn si nombor tiga...mcm langit dgn bumi...si abang...bulat dan rendah...si adik pulak...sekeping tapi tinggi...

Selongkar kabinet...owhhh...ada satu setengah peket mee wantan...jadi kita goreng je mee wantan ni...bentuk pun lebih kurang mee segera jugak kan...

Apa lagi...ini resepinya...macam biasa...mee ni tak pedas...sesuai utk anak2 makan...

Resepi Mee Wantan Goreng
Bahan
- 1 1/2 peket mee wantan dicelur
- 3 ulas bawang putih diketuk
- 2 sudu besar cili kisar
- 1 mangkuk kecil isi ayam
- 2 keping fishcake dihiris
- 5 biji bebola sayur dihiris
- 2 biji telur
- 2 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar sos cili thai
- 4 sudu besar kicap
- 3 pokok sawi di potong
- garam secukup rasa
- sedikit minyak utk menumis

Cara

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar. Masak hingga cili garing.
  2. Kemudian masukkan ayam,fishcake dan bebola sayur. Kacau sebati. Tambah sedikit air.
  3. Apabila ayam mengecut, masukkan semua jenis sos dan kicap. Kacau lagi. Perisakan dgn garam jika perlu. Pecahkan telur di tepi kuali, biarkan telur keras sedikit sebelum dikacau.
  4. Masukkan batang sawi dan mee yg telah dicelur. Gaul sebati. 
  5. Akhir sekali, masukkan daun sawi. Masak hingga daun sawi layu.
  6. Tutup api. Sedia utk dinikmati.

Hmmmm...nampaknya saya dah ada alternatif utk mee segera ni...anak2 saya suka dgn mee wantan goreng ni walaupun mula2 masa makan depa kata ini bukan maggi goreng...

Saya bagitau depa...mee segera tu buleh makan...tapi bukan selalu...huhuhu...

Okaylah...apa pun...selamat mencuba ya!

Babai

Sunday, 25 January 2015

Mee Hailam

Salam...

Hari ni saya tak masak nasi...boss besar mintak masak mee hailam...yayyyyy...saya suka sebab senang kerja saya...

Ini lah cara saya masak mee hailam...orang lain mungkin cara masaknya lain...tapi setakat ni...boss besar kata sedap...ok lah tu...hahaha...saya kan kena jaga perut boss besar...

Dua peket mee...cukup untuk kami satu famili makan...Alhamdulillah...







Mai tengok resepi mee hailam versi mak anak lima...

Resepi Mee Hailam

Bahan

- 2 peket mee dicelur
- 3 ulas bawang putih diketuk
- 1 mangkuk kecil isi ayam
- 3 ekor sotong dihiris
- 10 ekor udang dibuang kulit
- 1 batang carrot dihiris
- 1 mangkuk kecil cauliflower
- 5 batang putik jagung dihiris
- 2 batang sayur pakchoy dihiris
- 1/2 kiub pati ikan bilis
- 1 sudu besar cili kisar
- 1 sudu besar sos tiram
- 5 sudu besar kicap manis
- 1 sudu teh lada sulah
- garam secukup rasa
- minyak untul menumis
- air secukupnya
- 1 sudu besar tepung jagung dibancuh dgn sedikit air

Cara
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili kisar. Masak hingga garing.
  2. Tambahkan isi ayam. Kacau sebentar. Tunggu hingga isi ayam kecut. Masukkan air secukupnya. Kemudian masukkan kiub pati ikan bilis, sos tiram dan kicap. Kacau rata.
  3. Masukkan carrot dan cauliflower.
  4. Tunggu sebentar, kemudian masukkan putik jagung, sotong dan udang. Kacau sebati 
  5. Seterusnya,perisakan dgn lada sulah, gula dan garam. Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau lagi sehingga kuah menjadi agak pekat. 
  6. Akhir sekali, masukkan sayur pakchoy. 
  7. Tutup api. Sedia untuk dihidangkan.
  8. Cara menghidang,masukkan mee ke dalam mangkuk. Letakkan kuah dan taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan cili merah.
                              

Jemput makan...

Babai

Monday, 15 December 2014

Mee Kari

Salam..

Petang tadi terasa nak makan mee kari...saya pun google resepi mee kari nih...

Dalam banyak -banyak resepi mee kari, saya rasa macam nak cuba mee kari dari Kak Jee...sebabnya bahan yang digunakan tak banyak dan kebetulannya semua ada dalam dapur kecik saya ni..

So apa lagi...jom kita masak mee kari..tapi sebelum tu..sori kak jee, saya derhaka dengan resepi.. saya ada tokok tambah sikit bahan,.sbb nak perabis stok bahan dapur nih...




Resepi Mee Kari
Sumber : Kak Jee

Bahan 

1 cawan rempah kari (saya guna 1 paket kecik rempah kari ADABI)
1/2 cawan cili kering yang telah dikisar
8 ulas bawang putih
1 genggam penuh daun kari
4 batang serai diketuk
belacan sebesar ibu jari
4 biji buah keras
1/2 ekor ayam dipotong kecil
kerang (saya tak letak,lupa beli...)
6 biji tauhu pok
1 cawan pati santan (saya letak 200 ml santan kotak)
1 paket mee kuning dicelur
2 sudu besar udang kering (saya tambah)
3 keping Fishcake dihiris
5 biji Fishball dihiris
Garam dan gula secukup rasa

Hiasan

Cili, daun bawang, tauge yang dicelur, bawang goreng

* kaler merah ni...saya tambah..

Cara


  1. Tumbuk bawang putih, buah keras , belacan dan udang kering sampai hancur.
  2. Panaskan minyak, tumiskan bahan yang ditumbuk tadi hingga garing. Masukkan cili kisar, Kacau sebati hingga terbit minyak.
  3. Kemudian, masukkan rempah kari dan daun kari..kacau sampai rempah masak. Kalau nampak   macam nak hangit, tambah sikit air.
  4. Bila rempah dah masak, masukkan ayam. Kacau dan tunggu sampai ayam kecut. Tambahkan air dan santan. Ikut kesesuaian, kalau nak lebihkan kuah, lebihkan air.
  5. Tunggu sampai mendidih, masukkan tauhupok, fishball dan fishcake.
  6. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Boleh dihidangkan apabila ayam dah empuk

Kalau nak tau lebih detail resepi ni, bolehlah baca di blog Kak Jee.. Kuah mee kari ni agak banyak sbb saya lebihkan air..maklumlah ramai yang nak makan..hahahahaha...

Apa -apa pun...bila nak masak ni..kena pandai -pandai adjust rasa dan bahan...sbb tu lah kot org selalu sebut air tangan si tukang masak...

Babai
~aimzf~